Tuesday, May 14, 2013

Menanti yang tertulis untukku.

Alamak ! Gawat ! Aku diserang masalah cinta lagi ! 

Satu keluhan dilepaskan. Terasa bersimpul-simpul urat di otak ini memikirkan nasib diri yang sentiasa gagal dalam percintaan. Jatuh hati ? Ya, sudah berkali-kali terjadi pada aku. Patah hati ? Ya, tidak mampu dihitung dengan jari. Putus cinta ? Bagaikan serik sudah diri ini hendak melaluinya. 

Cinta pertamaku ? Indah, tetapi hanya pada permulaannya. Ketika itu, aku baru sahaja ingin berjinak-jinak dengan dunia percintaan ini. Semuanya begitu asing bagiku sehingga aku menjadi PANASARAN. Ya, PANASARAN. Bertemu di muka buku, ku jatuh hati padamu, bukan tak nak mengaku tapi hati rasa malu… ( pinjam lirik dulu ). Begitulah bagaimana hubungan persahabatan aku dan dia di laman sosial itu akhirnya berputik menjadi cinta. Andai bunga ditabur dengan baja yang berlebihan, lama-kelamaan bunga itu akan menjadi layu. Entah mana silapnya, hubungan itu putus di tengah jalan. Seteruk bagaimanapun pengakhiran hubungan aku dan dia, aku tetap berterima kasih pada dia. Kerana dialah insan yang pernah membuatku tersenyum dan gembira suatu ketika dahulu. 

Tatkala hati sedang berduka, muncul lah seorang pria yang menawarkan cinta. Kehadirannya seolah-olah membawa cahaya dalam kegelapanku. Pantas, hati ini terpaut pada dahan cintanya. Namun ternyata, ada sesetengah perkara yang aku tidak ketahui dalam alam percintaan ini. Butanya aku kerana tidak menyedari permainannya dari awal lagi. Di luar kesedaranku, rupa-rupanya kini pemangsa sedang memasang umpan untuk memerangkap si mangsa. Aku hampir terjerat! Niatnya kelihatan baik, namun di sebalik kebaikannya itu, terselindung seribu satu muslihat yang tidak mampu kubaca. Kata orang, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Tuhan Maha Penyayang, Dia menunjukkan aku jalan keluar dengan caranya yang tersendiri. Sungguh, aku tidak pernah bersendirian kerana Allah sentiasa menjagaku. 

Waktu terus berganti. Dalam diam, seorang sahabat telah menyatakan isi hatinya kepadaku. Puas aku dipujuk, namun kisah laluku menjadikan hatiku seakan-akan sukar untuk mempercayai kaum Adam. Bermacam-macam cara yang digunakan untuk meyakinkan hati Si Hawa ini, akhirnya aku mengalah juga. Kusangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hampa. Bagaimana mungkin aku boleh terus bersama dengan seorang lelaki yang telah meninggalkan kekasihnya yang telah lama bersamanya hanya semata-mata untuk bersama dengan aku. Aku bukanlah Si Perampas. Sememangnya, jika seorang lelaki berani untuk berbuat kejam sedemikian terhadap kekasih lamanya, tidak mustahil perkara yang sama akan terjadi pada diriku. Dengan itu, aku meninggalkan dia sebelum aku yang ditinggalkan. Harga diri ini terlalu tinggi untuk dipersiakan oleh buaya darat seperti itu. 

Seekor kumbang telah berlalu pergi. Seekor kumbang yang lain datang untuk menagih kasih. Kesudahannya sama sahaja. Hampa. Kadang-kadang kurasakan kisah cinta ku ini ibarat gula-gula Sour Plus. Apabila manisnya telah habis, yang tinggal hanyalah masam. Soal hati dan perasaanku. Siapalah yang tahu melainkan Penciptaku sendiri. 

Cinta merupakan satu misteri dalam hidupku. Jujur, aku gemar berteka-teki, namun tidak apabila tiba soal cinta. Aku pernah tersepit kerana cinta. Aku pernah kecundang kerana cinta. Aku pernah terjatuh kerana mengejar cinta. Ah! Sudahlah! Akan kulupuskan cerita silam yang singgah dalam hidupku. Dan akan aku usaha selagi mampu untuk mencari cinta yang hakiki. Menjalani kehidupan mencari sebenar-benar hakikat cinta. 

Untuk ke sekian kalinya aku bertanya, aku ini tulang rusuk kiri siapa?

No comments: